Bagaimana kapal diukur Kapal

Kapal diukur menurut keseluruhan panjang, panjang garis air (waterline), lebar rasuk (beam), kedalaman puncak geladak cuaca dengan galang tengah (keelson), drauf (jarak garis air tertinggi dengan dasar) dan muatan tanannya. Terdapat beberapa takrifan ukuran tan, kebanyakannya diukur melalui ukuran isipadu dan bukannya berat; biasanya digunakan untuk kapal pedagang untuk tujuan tol, cukai dll. Berat tan sebagai sesaran pula biasanya digunakan kepada kapal tentera laut dan setara dengannya di bawah keadaan tertentu. Berat tan "kapal kosong" adalah berat sebenar kapal itu sahaja tanpa bahan bakar, anak kapal, kargo, atau air di atas kapal, seperti pertama kali kapal masuk ke dalam air. Istilah sesaran (displacement) digunakan kerana hukum fizik asas mengatakan bahawa berat sesuatu objek terapung adalah sama dengan berat air yang digantikannya (oleh kapal tersebut).

Di England, sehingga akhir abad ke-19, kapal boleh diisi sehingga dek kapal hampir tenggelam, menyebabkan keadaan tidak stabil yang merbahaya. Tambahan lagi, sesiapa yang menandatangani untuk mengembara dengan menaiki kapal dan, apabila menyedari terdapat bahaya, memilih untuk meninggalkan kapal, boleh dipenjarakan.

Samuel Plimsoll, seorang ahli Parlimen, menyedari masalah tersebut dan menggajikan beberapa orang jurutera untuk mencipta formula yang agak mudah bagi menentukan tempat untuk garisan pada sisi sebarang kapal yang, apabila ia sampai pada permukaan air ketika sedang diisi, menunjukkan bahawa ia telah diisi dengan beban seselamat yang mungkin. Sehingga hari ini, tanda tersebut wujud pada sisi kapal, dan dikenali sebagai "Tanda Plimsoll", yang merupakan bulatan dengan garis melintang pada pusat. Disebabkan air yang berlainan mempunyai ketumpatan yang berlainan (air musim panas, tawar, tawar tropika, musim sejuk Atlantik Utara), ia memerlukan sekumpulan garis di hadapan Tanda Plimsoll untuk dipasang bagi menunjukkan kedalaman selamat (atau sisi kapal yang berada atas permukaan air) yang mana sesebuah kapal yang khusus boleh diisi dalam air dengan ketumpatan berlainan. Ini adalah "tangga" garisan yang dilihat di hadapan Tanda Plimsoll sehingga hari ini.

Bahagian hadapan kapal dipanggil luan (bow) manakala bahagian belakangnya dipanggil buritan (stern). Sisi kapal di sebelah kanan apabila pemerhati memandang ke hadapan dipanggil starboard; sebelah kiri dipanggil port. Aras berlainan dalam kapal dipanggil geladak (deck).

"Dinding" di dalam kapal dipanggil bulkhead. Kebanyakan bulkhead dibina sekali dengan struktur. Ia bertujuan untuk mengekalkan kestabilan, dan juga untuk menghalang air dari memasuki bahagian lain kapal apabila berlaku kebocoran, dan memendam kebakaran. Kebanyakannya dilengkapi dengan pintu kedap air yang dalam sesetengah jenis kapal boleh ditutup dengan kawalan jauh.